Monday, November 22, 2010

Lagenda Asrama 1


" Hahahaha!! Karut la cite korang ni. Sekarang zaman moden laahhh.. Mane ade lagik nenek kebayan or hantu2 ni!" Ujar Kamal dengan penuh semangat.

"Kau jangan riak sangat Kamal. Kitorang suma tau kau memang berani, tapi lagenda nenek kebayan ni memang betul2 wujud kat asrama sekolah ni. Abang aku penah kena dulu." Balas Wan kepada Kamal.

"Kalau betol ade, takpe. Aku tunggu die datang melawat aku. Hoii nenek kebayan! Malam ni aku tunggu kau datang melawat aku!" Pekik Kamal ke arah hutan di belakang asrama tempat dia tinggal semasa bersekolah di Nilai. Bilik asrama Kamal dan Wan menghadap ke sebelah hutan. Mereka berdua tinggal berempat sebilik bersama dua lagi rakan sebilik yang lain.

Itulah Kamal, seorang remaja belasan tahun yang terkenal dengan sifat berani dan suka bercakap besar. Wan pula sahabat baiknya dan juga sebilik dengan Kamal, hanya mampu menggeleng kepala kerana sikap buruk kawannya itu. Ketika itu mereka dalam perjalanan ke kantin asrama untuk makan malam. Semasa dalam perjalanan ke kantin, angin sejuk tiba-tiba bertiup dan mengoyangkan pokok-pokok di tepi asrama tersebut. Wan merasa tidak sedap hati.

                                                  -0-

Malam itu mereka pergi ke dewan belajar untuk mengulangkaji pelajaran kerana keesokan harinya akan ada ujian.

"Kamal, aku da mengantuk la. Jom la balik tidur." Ujar Wan mengajak Kamal untuk pulang ke bilik.

"Ok. Tapi kau balik la dulu. Aku nak gi tandas dulu." Balas Kamal.

Lantas Wan terus pulang ke bilik untuk tidur sementara Kamal pergi ke tandas dahulu untuk mencuci muka. Apabila Kamal masuk sahaja di dalam tandas, dia terbau sesuatu yang aneh. Baunya harum seperti bunga cempaka.

" Pelik. Sejak bila pulak makcik cleaner ni guna pencuci bau camni ni? Lantak la. Basuh muka dan tidur. " Kata Kamal dalam hati.

Suasana didalam tandas semakin lama semakin sejuk. Tiba-tiba kedengaran bunyi suara perempuan terbatuk. Kamal terkejut dan terus memandang sekeliling. Kosong. Tiada sesiapa. Kamal terus menyambung membasuh muka dan terus ke bilik.

                                                  -0-

Malam itu baru sahaja Kamal hendak melelapkan mata, Kamal terdengar seperti seorang perempuan tua sedang menyanyikan sebuah lagu-lagu lama. Suaranya sangat merdu dan mendayu-dayu. Wan pula telah lama tertidur. Disebabkan oleh rasa ingin tahu dan nyanyian itu telah menganggu tidurnya, Kamal telah membuka tingkap dan menjenguk ke luar. Dia ternampak kelibat samar-samar seorang perempuan tua sedang berjalan terbongkok dan memegang tongkat menuju ke arah asrama beliau. Kamal terus menyorok di sebalik langsir kerana terkejut.

" Biar betul.. Takkan tu nenek kebayan.. Mati akuuu... Baik aku pura-pura tidur. " Ujar Kamal untuk menenangkan hatinya yang sedang terkejut.

Semakin lama semakin kuat nyanyian itu. Tiba-tiba, kedengaran pintu bilik Kamal diketuk. Oleh kerana terlalu takut, Kamal terus masuk ke bawah selimut dan berpura-pura tidur.

"Cu.. Tadi cucu panggil nenek melawat cu kan.. Buka la pintu ni.. Kalau tak buka, nenek masuk ikut tingkap.." Kedengaran suara perempuan tua dari luar.

Kamal bukan main takut lagi. Hampir sahaja beliau terkencing didalam selimutnya. Bunyi ketukan pintu telah berhenti, tetapi sebaliknya tingkap bilik Kamal pula seperti dibuka dari luar. Dan kedengaran seperti orang berjalan di dalam bilik tersebut.

" Hiii hiii hiii.. Katil 1 dah tidur.. katil 2 juga dah tidur.. katil 3 baru tidur.. dan katil 4, pura-pura tidur bawah selimut.. Boleh nenek bawa yang pura-pura tidur temankan nenek dalam hutan.. Hiiii hiiii hiiiiiiiiiiii... " Kedengaran suara perempuan tua sedang ketawa sambil mengira jumlah orang yang tidur didalam bilik itu. Katil 4 yang berpura-pura tidur yang dimaksudkan adalah katil Kamal.

Apabila Kamal terdengar sahaja perempuan tua berkata beliau berpura-pura tidur, Kamal terus pengsan kerana terlalu takut. Keesokan harinya Kamal terus dibawa pulang kerumah kerana demam panas. Tiada siapa yang tahu tentang kejadian itu.

Friday, November 19, 2010

Langsuir Madu Tualang

Pakdin adalah seorang bekas askar. Tinggal di Kuala Lumpur namun mempunyyai ramai kenalan di kampung beliau yang terletak di Pahang. Hobi beliau adalah memburu di kawasan berdekatan kampung kenalan beliau di Pahang. Lebih menyenangkan, Pakdin mempunyai sebuah dusun buahan di kawasan pendalaman Temerloh.

Pakdin mempunyai seorang sahabat yang bernama Samad yang kerjanya mengambil madu lebah di hutan, jadi beliau kadang-kadang menemani Pakdin pabila Pakdin mahu memburu. Umur mereka berdua dalam lingkuan 50 tahun. Tetapi badan masih tegap dan sasa.



Pada suatu hari, Pakdin pergi memburu bersama 3-4 orang rakan yang lain termasuk Samad, pengambil madu itu. Mereka pergi menaiki jeep menuju ke dusun Pakdin sebelum masuk ke hutan untuk memburu. Telah menjadi kebiasaan mereka apabila memburu, mereka akan bermalam di dalam hutan, jadi segala kelengkapan telah disediakan. Disebabkan kemahiran Samad yang lebih mengenal setiap inci hutan tersebut, Samad berjalan mendahului. Semasa dalam perjalanan, Samad tiba-tiba berhenti. Kawasan hutan tersebut sunyi sepi. Tiada apa-apa bunyi walaupun bunyi cengkerik. Mereka terus diam tanpa sebarang kata sambil memandang Samad.


" Ada benda nak main dengan kita. Jangan gabra. Ikut je apa aku buat." Kata Samad dengan perlahan.

Lalu mereka teruskan perjalanan mereka. Dalam pukul 9.30 malam, mereka terhenti lagi. Kali ini mereka ternampak ular sawa sebesar tong drum sedang melintang di haluan mereka. Lalu mereka terus mencangkung. Mereka hanya ternampak badan ular sahaja, jadi kepala dan ekornya tidak kelihatan.

Semangat Pakdin hampir saja luluh, kerana sepanjang hidup beliau tidak pernah terjumpa ular sebesar itu.


"Shhh.. Heee.... Heee... " Kedengaran bunyi desiran ular seakan orang tua sedang ketawa semasa ular itu mahu melintas meninggalkan tempat itu.


" Banyak dugaan memburu kali ni..Ujian pertama aku kot" Bisik Pakdin dalam hati.


                                              -0-

Selepas itu, mereka terus berjalan selama 10 minit lalu dan Samad memberitahu mereka harus berhenti dan memasang khemah kerena hari sudah gelap. Pakdin dan kawan-kawan yang lain mengikut sahaja kerana Samad lebih arif tentang hutan di kawasan itu. Dalam pukul 11 malam, apabila semua sudah mahu tidur, Samad tiba-tiba sahaja berdiri tegak hampir 10 minit menghadap sebatang pokok balak besar tanpa berbuat apa-apa. Dia hanya memandang pokok tersebut. Lalu Samad terus pergi mengambil wudu' di anak sungai berhampiran dan terus azan dan solat sunat tolak bala. Pakdin dan yang lain melihat tanpa berkata apa-apa kerana masih terkejut akibat perbuatan Samad itu. Lalu mereka terus tidur tanpa apa-apa gangguan.


Malam esoknya, mereka berlaukkan ayam hutan panggang hasil pemburuan hari itu ditepi sungai dalam pukul 8.45 malam. Habis saja makan, mereka terus tanam sisa makanan mengikut petua orang tua. Tiba-tiba,sekali lagi Samad berdiri tegak menghala ke hulu sungai. Masing-masing berdoa supaya tiada benda buruk terjadi. Selepas itu, Samad berkata kepada mereka.


" Esok turn aku lak nak cari madu. Korang memburu lepas ni takkan dapat apa-apa dah. Ada benda kacau" Samad berkata kepada semua.


Mereka hanya menganguk. Bersetuju dengan kata-kata Samad. Keesokkan harinya mereka terus menuju tengah hutan mencari pokok tualang kerana lebah memang suka membuat sarang di pokok ini. Mereka terjumpa pokok itu beserta sarang lebah apabila sudah hampir petang. Jadi maksudnya Samad akan memanjat dan mengambil madu apabila hari sudah malam. Samad lalu menyediakan barang-barang untuk memanjat. Pokok itu juga sebesar 3 pemeluk orang dewasa. Pokok tumpang kecil yang menjalar di batang pokok tualang sedikit sebanyak membantu Samad untuk memanjat pokok itu.

" Aku dah nak naik ni. Kalau ada apa-apa, jangan tegur, jangan buat bising dan jangan pandang dia lama-lama. Kalau nampak, duduk dekat-dekat dan baca ayat kursi. " Pesan Samad sebelum memanjat.


                                              -0-


Pakdin merasakan ada sesuatu yang tak kena. Masing-masing telah memegang senapang, risau jika ada benda yang keluar ketika Samad di atas pokok. Maklumlah, Samad lebih tahu tentang ilmu hutan berbanding Pakdin walaupun Pakdin adalah seorang bekas askar.

Ketika itu, angin bertiup sepoi bahasa. Bulu roma Pakdin dan kawannya mula meremang. Tiba-tiba mereka terdengar suara perempuan mengilai di atas pokok. Pakdin lantas memandang keatas untuk melihat Samad.


"Ya Allahh.. Jauhkan aku dari bala" Kata Pakdin perlahan.


Terjojol biji mata Pakdin melihat ada sesuatu melayang di pucuk pokok tualang tak jauh dari tempat Samad. Mereka dibawah sudah mengigil,tak tahu hendak berbuat apa. Itulah kali pertama Pakdin dan kawannya melihat dan mendengar suara langsuir mengilai. Mereka lantas membaca semua surah yang terlintas di fikiran mereka. Senapang juga telah terlepas dari tangan mereka kerana terlalu takut.


Lebih mengerunkan, bukan seekor langsuir, tetapi masih ada 2-3 ekor yang sedang bertengek di pokok balak sebelah. Kedengaran suara mengilai juga seperti sahut-menyahut. Mereka juga terdengan Samad sedang melaungkan azan diatas pokok. Mungkin mahu menghalau langsuir-langsuir yang menggangu Samad.


" Ya lahhh.. Ya lahhh.. Aku nak balik la niii.. Ni aku dah nak turun daahhh.. Mintak maaf la sebab kacau nak tidoo.. Sudahhh.. Aku tak mau main dahh.. " Jerit Samad.


Mereka terdengar suara Samad menjerit kuat dari atas pokok. Dalam 10 minit, Samad sampai ke tanah. Dia memberi isyarat supaya jangan memandang keatas, takut langsuir itu mengikut. Tapi, seekor langsuir telah turun. Merangkak turun mengikut batang pokok tualang tersebut. Langsuir tersebut berhenti tepat-tepat sama paras dengan mereka berdiri. Terus mengeletar Pakdin dan kawannya. Namun Samad masih tenang dan berpesan.


" Apa pon jadi, jangan bergerak, jangan tengok muka dia. Baca apa-apa yang patut." Pesan Samad.


Namun, pandang mata mereka telah terpaku pada makhluk itu. Dikatakan muka seperti orang tua, kulit telah berkerepot, rambut panjang berserabai, badan hanya separuh ditutupi kain putih lusuh kekuningan, dan bau hancing yang teramat kuat menusuk hidung. Agak lama langsuir itu melekat pada batang pokok. Dia melekat pada batang pokok mengunakan gigi depan yang rongak. Seolah mengigit batang pokok itu sambil memandang tepat pada mereka.


Akibat tidak tahan dengan gangguan itu, Samad terus mengambil segenggam tanah lalu dibaca sesuatu lalu terus membaling ke arah langsuir itu. Dia seakan terkejut, lantas mengilai dengan kuat sambil tersenyum pada Samad menampakkan gigi yang telah rongak. Lalu terus hilang. Kedengaran di atas pokok, hilaian masih sahut-menyahut.


" Sudahhh!! Kami datang bukan nak buat kacau!! Kami datang nak cari rezeki Tuhan! Kita sama-sama makhluk Tuhan. Kami takmau main dah. Kami tak halalkan dunia akhirat kalau nak main lagik dengan kami! " Jerit Samad sambil memandang atas pokok. 


Hilaian yang kuat tadi terus berhenti. Lantas mereka terus pulang ke khemah dan mendirikan solat tolak bala. Pakdin dan kawannya masih terdiam, mungkin masih terkejut gara-gara langsuir tadi. Namun mereka masih terdengar sayup-sayup hilaian langsuir itu.



Esoknye lepas solat subuh, mereka terus bertolak pulang. Tidak mahu lagi menunggu. Risau diganggu lagi. Apabila sampai ke dusun Pakdin, Samad terus menyuruh mereka mandi di sungai tanpa membuka baju dan seluar. Petua supaya benda itu tak mengikut pulang ke rumah menganggu anak bini mereka. Apabila sampai di kampung, Pakdin dan yang lain terasa badan lemah. Salah seorang terus pengsan dan yang lain demam selama seminggu. Hanya Samad yang masih tahan dengan gangguan itu.


p/s : Diolah semula bersadarkan pengalaman seseorang.

Satria Silver Di Gerbang Bernam Jaya





"Mamat. Ang naik ngn pakcik Mael la. Sian dia naik sorang tu." Kata Pieza kepada Mamat.


"Ok. Leh gak. Asyik naik van je, kekadang naik lori pon ok gak tu." Balas Mamat bersahaja.


" Nanti kita jumpa kat R&R Dengkil. Kita singgah makan dulu. Jalan la dulu. Tunggu kami kat sana." Kata Mael kepada Pieza.


Mereka bertolak pulang pada pukul 9 malam, selepas selesai sahaja makan malam di perhentian rehat dan rawat Dengkil. Ketika itu Mamat baru saja menaiki lori untuk menemani Mael untuk pulang ke Penang. Mereka baru saja selesai mengemas barang-barang mereka selepas penat bekerja menjaga booth di Litar Sepang untuk perlumbaan Cubprix. Mereka pergi seramai 5 orang. 3 lelaki dan 2 perempuan. Jadi Mamat perlu menemani Mael untuk pulang kerana perjalanan mereka masih jauh.


Perjalanan menaiki lori agak perlahan disebabkan barang syarikat yang agak banyak. Jadi boleh dikatakan tiap kali mahu menaiki bukit atau memotong mengambil tempoh yang agak lambat. Air cond juga tidak berfungsi dengan baik.


Mael, pemandu lori adalah seorang periang walaupun beliau sudahpun menjangkau usia 40 an. Beliau sangat suka menyanyi tiap kali mendengar radio semasa membawa lori. Tapi malam itu, Mael agak muram. Mungkin disebabkan penat. Jadi perjalanan menaiki lori agak membosankan.


"Pakcik. Malam ni carta sinar kan?" Tanya Mamat.


"Haaa.. Bukak radio cepat." Balas Mael.


Jam menunjukkan pukul 10 malam. Lalu Mael membuka radio Sinar. Lagu yang kedengaran agak rancak lalu Mael mula menyanyi sambil diikuti Mamat. Keadaan mula menjadi meriah di dalam lori. Ketika itu mereka baru saja melalui kawasan Rawang. 


Disebabkan air-cond lori yang tidak berfungsi dengan baik, Mamat telah membuka tingkap. Sejuk. Dan Mamat mula menjenguk pemandu lain yang dipintas lori Mael. Jadi sudah menjadi kebiasaan Mamat untuk melihat pemandu atau penunggang yang di pintas apabila lori yang dibawa Mael memintas kenderaan mereka kerana tingkap lori yang lebih tinggi dari kenderaan lain.


Ketika itu lori Mael baru saja melalui gerbang Bernam Jaya. Keadaan menjadi agak kurang menyenangkan bagi Mamat. Dia terbau sesuatu yang kurang menyenangkan. Sesuatu yang berbau hanyir. Dia sengaja tidak mengendahkan bau itu lalu menyambung untuk melihat luar tingkap.


Ketika itu Mael cuba memintas sebuah kereta yang agak perlahan. Kereta satria berwarna silver. Ketika memintas, Mamat memandang dan cuba menjenguk pemandu di dalam kereta. Tiba-tiba beliau terkejut yang teramat.


Dia terpandang pemandu kereta itu memakai serba putih, menutupi kepala dan menutupi sedikit bahagian muka dan tidak mempunyai tangan untuk memegang stereng kereta. Dan dia juga membalas dengan menjenguk keluar dari tingkap dan memandang ke arah Mamat yang juga sedang menjenguk kereta tersebut. Sah!! Pocong!!


Mamat terus menarik kepala kedalam lori, dan lantas menutup tingkap lalu terus diam dan cuba melelapkan mata. Dia tidak mahu menceritakan kepada Mael kejadian itu, bimbang jika Mael akan risau dan takut. Selepas kejadian itu, tiap kali Mamat melalui kawasan itu, dia akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu terserempak pocong itu lagi.


p/s : Mamat di cerita diatas adalah diri aku sendiri.

Thursday, November 18, 2010

Awang hijau





"Emmmakkkk...! Mmmaaakkkk!" Suatu hari Siti memanggil Remlah. 

"Iya? Ada apa?" sahut Remlah. 

Remlah bukannya ibu kandung Siti. Remlah sekadar pembantu rumah sahaja. Namun kerana sudah sekian lama Siti membesar bersama Remlah, maka Siti yang baru berusia lima tahun itu sudah menganggap Remlah sebagai ibunya. Ibu kandung Remlah, Puan Rohida Samentar adalah seorang ibu tunggal, dan merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya.

"Kamu ini keanak-anakan, sih. Memanggilnya begitu, menakutkan bibi." 

Ternyata, Remlah enggan membahasakan dirinya sebagai emak kerana dikhuatiri akan menyinggung perasaan Puan Besar.

"Emak, Siti dapat kawan baru!" beritahu Siti.

"Kawan Siti itu di mana?" Remlah yang sedang sibuk menggosok baju enggan melayan kehendak Siti. Dia sekadar bertanya sahaja sambil terus mengosok baju-baju Puan Besar.

"Di dapur! Emak, itu kawan Siti!" jerit Siti.

"Di mana?" Remlah memanjangkan lehernya, pura-pura memandang ke dapur, tetapi matanya masih tidak lekang memerhatikan kain yang digosoknya.

"Itu yang berwarna hijau itu!" jerit Siti.

"Oh, yang berwarna hijau itu. Ah, sudah ketemu Kroko kamu ya?" Remlah pura-pura sudah nampak 'kawan' Siti. Baginya, 'kawan berwarna hijau' yang berwarna hijau itu ialah patung mainan buaya kepunyaan Siti yang hilang tempoh hari. Siti memanggilnya 'Kroko'.

"Bukan, Mak! Bukan 'Kroko'! Lihatlah, kawan Siti, matanya merah-merah saja!" kata Siti lagi.

"Oh, Alfred. Siti mainlah dulu dengan Alfred. Bibi mahu sudahkan kerja ini. Sebentar..."

"Bukan Alfred! Makk!! Mari! Mari!!" Siti menarik tangan Remlah. Remlah terjinjit-jinjit ke dapur.

"Sitiii!!! Sitiii!!! Kain! Kainnya! Ya, Tuhanku!" Remlah mulai bimbang. Bimbang kalau-kalau pakaian Puan Besar hangit dimakan terma panas seterika elektrik itu.

"Itu! Itu kawan Siti! Comelkan, mak?" Siti tersengih-sengih sehingga sepet mata bulatnya.

Remlah ternganga. Dia menggeletar. Seekor makhluk yang sebaya kanak-kanak berusia dua tahun enam bulan tercegat di dapur. Matanya merah garang, kulitnya agak hijau kekuningan. Sudah pasti kerana kesan revolusi telekomunikasi masa kini.

"Itu kawan Siti. Mari," Siti kelihatan garang menarik tangan Remlah. Dia mahu Remlah mendekati makhluk tersebut.

Liang-liang roma Remlah terasa sejuk. Kaki Remlah lemah longlai.

"Itu... tuyul!!!" Jerit Remlah sekuat-kuat hatinya.


-0-

Sudah beberapa hari Puan Rohida Samentar bercuti gara-gara mahu menjaga Siti. Siti enggan ke taman asuhan kanak-kanak. Siti mengamuk apabila hendak dibawa ke sana. Amukannya lain macam. Siti gigit ibu jari kaki cikgu di taska. Siti gigit ibu jari kawan-kawan di sana.

"Kenapa Siti gigit ibu jari Cikgu Mok?" tanya Puan Rohida Samentar. Cikgu Mok sudah takut dengan Siti.

"Siti tak mahu orang lain, Siti mahu emak!" radang Siti.

"Kan Mama ada di sini?"

"Bukan! Siti mahu Emak!" 

Emak yang dimaksudkan oleh Siti itu ialah Remlah, pembantu rumah yang telah melarikan diri tempoh hari. 

"Emak kamu itu sudah lari! Habis baju-baju emak kena curi!" Puan Rohida meninggikan suaranya sedikit. Emosi barannya tercetus gara-gara teringatkan perbuatan Remlah.

Puan Rohida menyangka Remlah yang melarikan baju mewahnya. Dia tidak tahu baju mewah itu telah hangus dimakan haba seterika elektrik. Dia tidak tahu ada sesuatu di dapur rumah yang menakutkan Remlah. Dia tidak tahu Siti berkawan dengan makhluk tersebut. 

Bukan setakat baju sahaja, barang-barang kemas Puan Rohida juga sudah banyak yang hilang. Buat sementara waktu, Puan Rohida enggan mencari pembantu rumah. Namun, kini, masalah lain pula yang timbul. Siti tidak mahu ke taska.

"Bukan Emak yang curi!"

"Habis, kamu ingat siapa? Toyol?" Nampaknya begitulah sikap Puan Rohida sehingga dia ditakuti oleh orang-orang bawahannya. Seorang majikan yang tegas dan garang, terutama apabila berkaitan dengan soal untung rugi.

"Eh, Mama tahu?" Siti ternganga. "Mama cerdik!"

"Aaa? Mana ada toyol! Semua itu karut!" nafi Puan Rohida.

"Tapi tadi, Mama kata ada!" Siti memuncungkan mulutnya. Keningnya diberatkan ke bawah.

Puan Rohida mati akal.


-0-

Malam itu gelap. Puan Rohida tiba-tiba ternampak kelibat Siti di bucu katilnya. Siti gigit ibu jari Puan Rohida.

"Eish! Budak ni, mana belajar gigit ibu jari kaki ni!"

Minta dibuatkan airlah tu, fikir Puan Rohida di dalam hati. Puan Rohida mengantuk, dia pun memanggil Remlah. Senyap. Selalunya Remlahlah yang buatkan air untuk Siti.

Puan Rohida menepuk dahi. Dia bangkit dari katil. Stresnya masih belum hilang. Dalam keadaan mengantuk itu dia ke dapur. Rumah itu besar. Dapurnya juga besar.

Puan Rohida berjalan perlahan-lahan ke dapur. Lembaga kecil itu mengekorinya.

"Nak air apa?" tanya Puan Rohida. Dia tidak memandang ke arah Siti. Matanya fokus ke arah gelas dan tin-tin berisi serbuk minuman.

"Ara...." Terdengar bisikan jawapan. Halus. Cilik.

"Aaa? Sirap? Sirap dah habislah, sayang."

"Mama buat susulah, ya?" Tidak ada jawapan daripada Siti. Puan Rohida pantas memasukkan beberapa serbuk susu ke dalam gelas. Menuang sedikit air panas dan kemudian air suam. Tidak ada apa-apa bantahan daripada Siti.

Siti ni diam semacam saja, fikir Puan Rohida. Dia mengantuk, dia tidak memandang pun ke belakang. Dia tidak pandang pun ke arah Siti. Puan Rohida terasa seram juga dengan tingkah laku anaknya sejak akhir-akhir ini. Macam dirasuk. Puan Rohida terus mengacau air susu di dalam gelas. Biar larut.

"Dah siap," Puan Rohida lantas berpaling dan memberikan gelas berisi susu itu kepada lembaga kecil yang berada di belakangnya.

Sepasang tangan kecil menyambutnya. Siti meneguk susu itu sedikit.

"Cepat minum." Puan Rohida menyandarkan dirinya pada kabinet dapur, tempat dia membuat air susu untuk Siti.

"Mama..." panggil Siti perlahan.

"Hmmm?"

"Kawan Siti pun nak."

"Aaa? Sayang mengigaulah," Puan Rohida mengeluh. Penat. mengantuk.

"Itu... kawan Siti tu." 

Perlahan-lahan, kelihatan seorang anak kecil; seekor toyol, malu-malu, menampilkan dirinya dari balik almari pinggan mangkuk. Matanya merah darah dan agak tersembul keluar. Anak matanya hitam. Kulitnya hijau kekuningan. Pucat.

Toyol itu tersengih. Nampak taring dan gigi-gigi runcingnya. Puan Rohida terkeut. Semangatnya terbang. Dia pengsan.


-0-

Subuh itu, Puan Rohida tersedar. Dia mendapati dirinya di atas katil. Dia melihat jam. Sudah pukul lima pagi. 

"Aku mimpi rupanya," bisik Puan Rohida.

"Mama!" Puan Rohida terkejut apabila didapati Siti ada di sebelahnya.

"Eh? Bila masa Siti tidur dengan Mama?"

"Siti jaga Mama," jawab Siti.

"Jaga Mama? Buat apa, sayang?"

"Mama pengsan malam tadi, nasib baik Pak Cik Momok tolong angkat," jujur Siti menjelaskan sambil memandang ke arah sisi katil.

Puan Rohida memandang ke sisi katil. Alangkah terkejutnya Puan Rohida apabila dilihatnya, seekor lembaga berbulu lebat dan tinggi berdiri di sisi katil. Dan, di hujung ibu kakinya, kelihatan kepala seekor toyol, sedang menganga mulut, menampakkan taring dan gigi runcingnya.

"Nak... araaa!!" Nafas panas Toyol itu terasa dekat di ibu jari kakinya Puan Rohida. Ibu jari Puan Rohida terasa seram sejuk. Semangat Puan Rohida terbang. Puan Rohida pengsan lagi.

"Araaa!!!" Toyol itu bersuara lagi. Siti ketawa terkekek-kekek.


Sumber:dukeamienerev