Friday, November 19, 2010

Satria Silver Di Gerbang Bernam Jaya





"Mamat. Ang naik ngn pakcik Mael la. Sian dia naik sorang tu." Kata Pieza kepada Mamat.


"Ok. Leh gak. Asyik naik van je, kekadang naik lori pon ok gak tu." Balas Mamat bersahaja.


" Nanti kita jumpa kat R&R Dengkil. Kita singgah makan dulu. Jalan la dulu. Tunggu kami kat sana." Kata Mael kepada Pieza.


Mereka bertolak pulang pada pukul 9 malam, selepas selesai sahaja makan malam di perhentian rehat dan rawat Dengkil. Ketika itu Mamat baru saja menaiki lori untuk menemani Mael untuk pulang ke Penang. Mereka baru saja selesai mengemas barang-barang mereka selepas penat bekerja menjaga booth di Litar Sepang untuk perlumbaan Cubprix. Mereka pergi seramai 5 orang. 3 lelaki dan 2 perempuan. Jadi Mamat perlu menemani Mael untuk pulang kerana perjalanan mereka masih jauh.


Perjalanan menaiki lori agak perlahan disebabkan barang syarikat yang agak banyak. Jadi boleh dikatakan tiap kali mahu menaiki bukit atau memotong mengambil tempoh yang agak lambat. Air cond juga tidak berfungsi dengan baik.


Mael, pemandu lori adalah seorang periang walaupun beliau sudahpun menjangkau usia 40 an. Beliau sangat suka menyanyi tiap kali mendengar radio semasa membawa lori. Tapi malam itu, Mael agak muram. Mungkin disebabkan penat. Jadi perjalanan menaiki lori agak membosankan.


"Pakcik. Malam ni carta sinar kan?" Tanya Mamat.


"Haaa.. Bukak radio cepat." Balas Mael.


Jam menunjukkan pukul 10 malam. Lalu Mael membuka radio Sinar. Lagu yang kedengaran agak rancak lalu Mael mula menyanyi sambil diikuti Mamat. Keadaan mula menjadi meriah di dalam lori. Ketika itu mereka baru saja melalui kawasan Rawang. 


Disebabkan air-cond lori yang tidak berfungsi dengan baik, Mamat telah membuka tingkap. Sejuk. Dan Mamat mula menjenguk pemandu lain yang dipintas lori Mael. Jadi sudah menjadi kebiasaan Mamat untuk melihat pemandu atau penunggang yang di pintas apabila lori yang dibawa Mael memintas kenderaan mereka kerana tingkap lori yang lebih tinggi dari kenderaan lain.


Ketika itu lori Mael baru saja melalui gerbang Bernam Jaya. Keadaan menjadi agak kurang menyenangkan bagi Mamat. Dia terbau sesuatu yang kurang menyenangkan. Sesuatu yang berbau hanyir. Dia sengaja tidak mengendahkan bau itu lalu menyambung untuk melihat luar tingkap.


Ketika itu Mael cuba memintas sebuah kereta yang agak perlahan. Kereta satria berwarna silver. Ketika memintas, Mamat memandang dan cuba menjenguk pemandu di dalam kereta. Tiba-tiba beliau terkejut yang teramat.


Dia terpandang pemandu kereta itu memakai serba putih, menutupi kepala dan menutupi sedikit bahagian muka dan tidak mempunyai tangan untuk memegang stereng kereta. Dan dia juga membalas dengan menjenguk keluar dari tingkap dan memandang ke arah Mamat yang juga sedang menjenguk kereta tersebut. Sah!! Pocong!!


Mamat terus menarik kepala kedalam lori, dan lantas menutup tingkap lalu terus diam dan cuba melelapkan mata. Dia tidak mahu menceritakan kepada Mael kejadian itu, bimbang jika Mael akan risau dan takut. Selepas kejadian itu, tiap kali Mamat melalui kawasan itu, dia akan lebih berhati-hati kerana tidak mahu terserempak pocong itu lagi.


p/s : Mamat di cerita diatas adalah diri aku sendiri.

1 comment: